Ringkasan Siaran Media Khas Oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia

 


Ringkasan Siaran Media Khas
Kementerian Pendidikan Malaysia

Saya memahami harapan dan denyut nadi hasrat seluruh rakyat Malaysia, khususnya murid dan guru terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan peneraju yang baharu dilantik oleh YAB Perdana Menteri.

Sidang media pada petang ini bertujuan memaklumkan aspirasi KPM dan menjelaskan beberapa keprihatinan yang sering diutarakan oleh pihak-pihak berkepentingan dan juga masyarakat umum.

Kementerian Pendidikan Malaysia akan  memberi tumpuan kepada tujuh teras utama, iaitu:

1. Menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.

Bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid maka aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan oleh KPM termasuklah Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan. Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan.

2. Memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Kementerian Pendidikan yakin akan mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.

3. Memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuklah dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.

Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar.

4. Memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan. 

5. Memberi fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.

Saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan. 

6. Memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengubahsuai dan menaik taraf sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak. 

7. Meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. Kementerian akan membuat libat urus bersama dengan agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan bawah KPM.

Saya akan mengarahkan KSU untuk melihat perkara ini. KPM akan mengemukakan cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Penutup

Kebahagiaan di dalam kelas adalah atom pendidikan negara. Oleh itu,  seluruh ekosistem pendidikan dan sistem penyampaian perkhidmatan akan diperkemas untuk mencapai hasrat ini.  

KPM akan terus mendokong misi dan visi kementerian serta berpaksikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memacu pendidikan negara di dalam mendepani cabaran semasa dan masa hadapan. Pada masa sama, KPM memiliki pemegang taruh yang besar meliputi segenap lapisan masyarakat, umur dan latar belakang yang berbeza.

Menguruskan jangkaan umum (public expectation) adalah satu cabaran yang harus dipikul oleh KPM bagi memastikan satu titik pertemuan yang adil lagi saksama dapat direalisasikan oleh pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini.

YB. FADHLINA SIDEK
15 Disember 2022

SUMBER : 
https://www.facebook.com/fadhlina.datosidek/photos/a.112212693891737/676767734102894/

Post a Comment

0 Comments